Tuesday, June 20, 2017

PERNIAGAAN DAN PERSEKITARAN

BAB 1 PERNIAGAAN DAN PERSEKITARAN


1.1 Pengenalan Perniagaan
            a) Definisi Perniagaan
            Aktiviti jual beli barang dan perkhidmatan dengan menggunakan wang atau alatan             lain bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan pada harga, masa  dan          tempat yang sesuai bagi mendapatkan keuntungan, faedah dan kepuasan.

            b) Elemen Definisi  Perniagaan
       Aktiviti jual beli
Aktiviti jual beli di mana perniagaan bermula dengan membeli sesuatu barangan untuk dijual kepada pembeli bagi tujuan mendapat keuntungan. Seseorang peniaga memulakan perniagaannya dengan menyediakan produk/perkhidmatan untuk dijual.
       Barang niaga dan perkhidmatan
Barang niaga adalah produk fizikal yang boleh disentuh, dipegang, dilihat dan boleh dinikmati. Dihasilkan bagi tujuan untuk dijual kepada pelanggan bagi memenuhi keperluan dan kehendak serta citarasa pelanggan ; contohnya pakaian, makanan dan minuman.

Perkhidmatan : sesuatu  produk yang tidak boleh dilihat atau disentuh secara fizikal tetapi boleh dirasai bila menggunakannya. Menawarkan faedah dan kemudahan kepada pelanggan : contohnya perkhidmatan hospital dan salon kecantikan.

       Keperluan dan kehendak

KEPERLUAN  adalah sesuatu yang mesti dipenuhi oleh setiap manusia untuk terus hidup. Ia wujud secara semulajadi. Ia termasuk keperluan asas fizikal untuk makanan, pakaian, tempat tinggal, keselamatan dan kasih sayang. Keperluan ini bukan dicipta oleh pemasar tetapi merupakan sebahagian asas dari kejadian manusia.
KEHENDAK adalah sesuatu perkara yang menjadikan hidup manusia lebih selesa. Kehendak manusia tidak terhad dan ia dipengaruhi oleh budaya, taraf hidup dan personaliti individu. Seseorang yang lapar mungkin inginkan sepinggan nasi tetapi seseorang yang lain mungkin inginkan sepinggan spagetti.


       Konsep keuntungan
Keuntungan merupakan sejumlah hasil daripada pendapatan menjual barangan dan perkhidmatan setelah ditolak kos pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan pengedaran serta kos-kos lain yang terlibat.



       Konsep faedah dan kepuasan

Faedah
     Nilai atau manfaat yang diperolehi hasil dari perolehan, pemilikan atau penggunaan sesuatu barangan atau perkhidmatan

Kepuasan
            Keupayaan sesuatu barangan atau perkhidmatan untuk memenuhi kehendak dan keinginan manusia. Tercapai apabila prestasi barangan memenuhi atau melebihi jangkaan atau persepsi pengguna. Tahap kepuasan berbeza-beza di antara seorang pengguna dengan pengguna yang lain.

Contoh
Encik Ahmad membeli sebuah kereta untuk memudahkan beliau pergi ke tempat kerja(Faedah). Encik Ahmad  gembira kerana kereta tersebut sangat menjimatkan penggunaan petrol (Kepuasan)

            c) Proses Perniagaan




Merangkumi:
Faktor Input -ialah sumber-sumber yang dikenali sebagai faktor pengeluaran yang digunakan sebagai bahan dalam proses pengeluaran.
        Contohnya, bagi pengeluaran kain/tekstil, pengilang memerlukan kapas (bahan mentah) untuk diproses, manusia (tenaga buruh/pekerja) untuk menyelenggarakan mesin, wang (modal) untuk membeli bahan mentah, mesin dan membayar upah pekerja serta kemahiran (keusahawanan) untuk mengagih sumber-sumber tersebut.

Proses transformasi
Ia merupakan proses menukarkan input kepada output.
         Proses ini memberikan nilai tambahan kepada
   barangan yang diproses.
         Kerja-kerja pemprosesan dan pengeluaran
   dilakukan menggunakan mesin yang
   diselenggarakan oleh pekerja-pekerja mahir.
         Contohnya dalam pengeluaran tekstil, setelah
   bahan mentah, tenaga kerja, mesin dan
   peralatan dikumpulkan, bahan mentah tersebut
   akan diproses atau ditukarkan menjadi kain yang
   dikehendaki  menggunakan kepakaran pekerja
   dan teknogi tertentu.

Output- ialah hasil yang diperolehi daripada proses pengeluaran.
       Output dihasilkan mempunyai ciri-ciri tertentu yang memenuhi kehendak dan citarasa pengguna. Kualiti output mestilah memenuhi piawaian yang ditetapkan.
       Contohnya, dalam pengeluaran tekstil, output yang dihasilkan mungkin berbentuk  kain kapas, sutera dan polister yang menepati piawaian tertentu.


Jualan - merupakan aktiviti menawarkan hasil pengeluaran /output kepada pembeli untuk tujuan mendapat keuntungan dan memberi kepuasan.
Contohnya; dalam pengeluaran tekstil, output seperti kain kapas, kain sutera, dll boleh dijual kepada pembeli yang berminat.

Keuntungan
Keuntungan merupakan sejumlah hasil daripada pendapatan menjual barangan dan perkhidmatan setelah ditolak kos pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan pengedaran serta kos-kos lain yang terlibat.
Keuntungan merupakan sumber utama pendapatan kepada syarikat.
Keuntungan yang diperolehi boleh digunakan untuk membeli semula bahan input untuk proses pengeluaran akan datang





            d) Objektif Perniagaan

i) Keuntungan
ž  Merupakan sejumlah wang hasil daripada pendapatan menjual barangan dan perkhidmatan setelah ditolak kos pengeluaran, pemasaran, pentadbiran dan pengedaran serta lain-lain kos yang terlibat.
ž  Menjadi matlamat utama semua jenis perniagaan untuk mendapatkan wang supaya perniagaan terus wujud  dan dapat bersaing di pasaran.
ž  Contoh: Harga jualan RM 20 seunit. Kos sebanyak RM 15, jadi untung bagi setiap unit adalah sebanyak RM 5.

ii. Kemandirian
ž  Usaha perniagaan untuk terus wujud dan kekal di dalam pasaran.
ž  Boleh dicapai dengan memastikan pengguna sedar kewujudan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
ž  Contohnya peniaga akan cuba pikat pengguna melalui pelbagai strategi pemasaran yang menekankan aspek produk, perletakan harga  promosi dan pengedaran yang dijalankan dengan harapan dapat menarik perhatian pengguna


iii. Pertumbuhan
ž  Usaha sesebuah perniagaan untuk memastikan perniagaan yang diusahakan berkembang operasinya.
ž  Boleh dicapai dengan meluaskan pasaran dengan cara membina agihan intensif, membentuk kesedaran dan minat dalam pasaran massa.
ž  Contohnya;  jualan bulan Mac meningkat sebanyak 10%  berbanding jualan bulan Januari kerana produk mula dikenali dan diminati pengguna.

iv. Tanggungjawab Sosial

ž  Satu komitmen oleh pihak syarikat untuk memberi perhatian kepada keperluan/ kebajikan awam disamping aktiviti utama syarikat yang bermatlamatkan keuntungan.
Contoh tanggungjawab sosial kepada:
ž  Pekerja- gaji, cuti rehat, keselamatan, insuran
ž  Pelabur – memaksimumkan pulangan pelaburan
ž  Perniagaan lain- penghantaran tepat
ž  Masyarakat- sumbangan, peluang pekerjaan, produk yang bermutu dan selamat


1.2 Kepentingan  Perniagaan Kepada Pihak Berkepentingan
            a) Memenuhi Keperluan  Masyarakat

Peniaga cuba memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dengan menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang bermutu dengan harga, masa dan tempat yang sesuai kepada pelanggan.


            b) Meningkatkan Peluang Pekerjaan

perniagaan mewujudkan peluang perniagaan kepada masyarakat. pelbagai kemahiran dan pengetahuan digunakan dalam perniagaan. Ini memberi peluang pekerjaan kepada ahli-ahli masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pendidikan
dengan menyediakan pekerjaan, syarikat syarikat ini dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pendapatan yang mereka terima.


            c) Meningkatkan Pembangunan Ekonomi & Negara

v  Perniagaan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan mengeksport keluaran yang dihasilkan ke luar negara seterusnya menambahkan pendapatan negara.
v  Perniagaan juga akan menyuarakan kepada pihak-pihak tertentu untuk memperbaiki infra struktur sesebuah tempat. Secara tidak langsung memberi kesan dalam membangunkan kawasan serta masyarakat sesebuah tempat yang terlibat dengan perniagaan.



            d) Memenuhi  Kehendak Peluang Global
           
v  Peluang perniagaan tidak terhad dalam negara sahaja tetapi meliputi ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
v  Setiap negara berpeluang menikmati pelbagai produk dari pelbagai negara
v  Ilmu perniagaan perlu ditingkatkan upaya mampu bersaing dengan syarikat-syarikat antarabangsa



1.3 Fungsi–Fungsi Perniagaan
            a) Pengeluaran

v  Pengeluaran didefinisikan sebagai suatu proses menukarkan sumber-sumber pengeluaran kepada barangan siap atau barangan separa siap.
v  Perkhidmatan juga dianggap sebagai produk dan sebarang penyediaan kemudahan perkhidmatan dianggap sebagai pengeluaran
v  Pengeluaran mencipta nilai tambahan kepada input supaya output yang dihasilkan memberi kepusan kepada pengguna.



            b) Pemasaran

v  Pemasaran ialah satu sistem aktiviti perniagaan yang dibentuk untuk merancang dan melaksanakan konsep produk, penentuan harga, promosi dan pengedaran sesuatu produk.
v  Aktiviti pemasaran akan menggalakkan berlakunya pertukaran antara barang dengan wang, yang dapat memenuhi keperluan pengguna dan mencapai objektif organisasi.



            c) Kewangan

kewangan melibatkan aktiviti menguruskan kewangan individu, pertubuhan perniagaan atau bukan perniagaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan dan setiap entiti yang terbabit dengan wang.
Fungsi kewangan dalam sesebuah perniagaan termasuk membuat ramalan keperluan dana, mendapatkan dana untuk syarikat, menguruskan dana tersebut dan menentukan dana digunakan dengan cara terbaik.



            d) Sumber Manusia

sumber manusia bagi sesebuah organisasi adalah merupakan staf yang merangkumi pekerja dan pengurus yang terdapat dalam organisasi tersebut.
Mereka menawarkan bakat, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada organisasi. Tanpa sumber manusia organisasi bukan sahaja tidak dapat bergerak malah ia tidak akan wujud.



1.4  Persekitaran Perniagaan
a)    Persekitaran Tugas
          Pihak pengurusan
Pihak pengurusan ialah pihak-pihak yang terbabit dalam pengurusan syarikat. Pengurus mempunyai tugas menyelaraskan dan mengawal kerja yang dilakukan oleh orang bawahan untuk mencapai matlamat tertentu.
Matlamat itu tidak akan tercapai sekiranya dilakukan oleh pengurus secara bersendirian. Pihak pengurusan terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.
Pihak pengurusan menentukan hala tuju perniagaan, operasi perniagaan, perancangan perniagaan dan keuntungan perniagaan.


          Pelabur
Pemilik yang menyumbangkan modal dalam perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Mereka membeli saham syarikat dan inginkan pulangan dalam bentuk dividen. Pelabur terdiri daripada individu, syarikat, institusi dan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan.
Perniagaan akan dapat diperluaskan hasil sumbangan modal pelabur.
Kedudukan kewangan syarikat yang kukuh memberi keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan ke dalam syarikat.


          Pembiaya
Pihak yang mengeluarkan dan membiayai modal sesebuah perniagaan.
Pembiaya akan memastikan syarikat perniagaan yang ingin dibiayai mempunyai prestasi yang baik dan berpotensi mendapat untung. Contoh pembiaya : bank, syarikat kewangan, dan sebagainya.
Pembiaya mendapat keuntungan dengan mengenakan kadar faedah tertentu kepada peniaga (peminjam)


          Pekerja
Individu yang menyumbangkan kemahiran untuk melaksanakan aktiviti syarikat dan mendapat upah sebagai ganjaran.
Pekerja terdiri dari golongan mahir, separuh mahir dan tidak mahir.
Semangat kerjasama pekerja membantu perniagaan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Gelagat pekerja mempengaruhi kejayaan dan kegagalan syarikat serta menggambarkan imej sesebuah perniagaan.
Pekerja yang berkemahiran, berpengetahuan dapat menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan.


          Pengguna

Pengguna adalah individu yang membeli dan menggunakan sesuatu produk.
Keputusan pembelian pelanggan mempengaruhi kejayaan dan kegagalan sesebuah perniagaan.
Perubahan citarasa pengguna mempengaruhi jenis keluaran, harga dan kualiti keluaran.
Citarasa pengguna yang berbeza menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mereka membeli pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran.
Perubahan citarasa juga menggalakkan inovasi perniagaan.

          Pembekal

Pembekal merupakan pihak yang menawarkan segala keperluan kepada sesebuah perniagaan misalnya bahan mentah, pekerja dan pengangkutan.
Perniagaan harus menjalinkan perhubungan yang baik dengan pembekal supaya bekalan dapat dihantar kepada peniaga apabila diperlukan pada harga yang berpatutuan. Ini juga untuk menjamin operasi syarikat tidak terganggu dan operasi perniagaan dapat berjalan dengan lancar.
Sekiranya bekalan yang dibekalkan adalah berkualiti, imej perniagaan akan meningkat dengan produk berkualiti di pasaran.


          Pesaing

Merupakan perniagaan lain yang mengeluarkan produk yang sama atau hampir sama dalam satu industri yang sama.
Tindakan atau strategi pesaing boleh mempengaruhi harga dan kualiti produk yang dihasilkan.
Memerlukan perniagaan melakukan inovasi untuk mengatasi persaingan.
Strategi dan perancangan yang dibentuk untuk mengatasi persaingan membolehkan perniagaan menjadi lebih kompetitif.


b)    Persekitaran Umum
          Ekonomi
Merujuk kepada situasi ekonomi dalam dan luar negara.
Kestabilan ekonomi sesebuah negara akan menjamin perkembangan sesebuah perniagaan tetapi jika berlaku kemelesetan ekonomi, perniagaan akan mengalami masalah kerana kuasa beli pengguna yang menurun.
Jika permintaan meningkat, keuntungan syarikat juga meningkat. Begitu juga jika permintaan menurun maka keuntungan syarikat juga akan menurun.



          Teknologi
Merujuk kepada kaedah baru untuk melakukan sesuatu kerja.
Perkembangan teknologi memberi kesan di mana perniagaan yang menggunakan teknologi terbaru dapat meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa pengeluaran dan mengurangkan kos perniagaan.
Sesebuah perniagaan mestilah peka dengan perkembangan teknologi semasa bagi menjamin kemandirian perniagaan yang dijalankan.



          Sosiobudaya

Merujuk kepada satu set nilai norma yang dipegang dan diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.
Setiap individu mempunyai corak kehidupan budaya yang berbeza dari segi agama, adat resam dan cara hidup.
Corak sosiobudaya sesebuah masyarakat memaksa perniagaan menyesuaikan barangan dan perkhidmatan mengikut kehendak masyarakat tersebut.


          Politik & Undang-Undang

Politik: Sistem dan parti yang memegang tampuk pemerintahan sesebuah negara.
Undang-undang: Peraturan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah.
Keadaan politik yang stabil dapat membentuk dasar dan undang-undang yang akan menjamin aktiviti sesebuah perniagaan berjalan dengan lancar.

Kerajaan menggubal undang-undang dan peraturan untuk kepentingan semua untuk memastikan wujud persaingan yang sihat di kalangan perniagaan, melindungi pengguna dan mengawal aktiviti perniagaan daripada melakukan penyelewengan.
Undang-undang dan peraturan sesebuah negara seperti Malaysia menetapkan Akta Jualan Langsung 1993, Akta Barangan Kawalan, Akta Kontrak dan sebagainya.


          Global

Global: Persekitaran dunia yang merangkumi politik, undang-undang dan ekonomi dunia yang mempengaruhi sesebuah perniagaan.
Perniagaan perlu bersaing di peringkat antarabangsa.
Melalui perniagaan global membolehkan peniaga sentiasa mementingkan kualiti dan menjaga imej syarikat serta negara.
Dasar buka pintu yang diamalkan oleh sesebuah negara membolehkan peniaga menjalankan perniagaan di negara asing.


          Fizikal/ Semulajadi

q  Meliputi semua sumber semula jadi seperti bahan galian , hasil tanaman, air, udara dan lain-lain  sumber asli yang diperlukan sebagai input untuk pengeluaran barangan.
q  Pemasar perlu menyedari pelbagai tren dalam persekitaran semulajadi iaitu kekurangan bahan mentah, peningkatan harga sumber input , peningkatan populasi dan  campurtangan kerajaan dalam pengurusan sumber semulajadi.




1.5 Bentuk – bentuk Entiti Perniagaan    

              a) Bentuk - bentuk  entiti perniagaan

Milikan tunggal
Perkongsian
Syarikat (Sendirian Berhad dan Berhad)
Koperasi


  b) Ciri - ciri entiti   perniagaan

CIRI-CIRI MILIKAN TUNGGAL
Perniagaan milikan tunggal merupakan entiti perniagaan yang paling banyak beroperasi di mana-mana negara. Ciri-ciri perniagaan ini yang mudah dan ringkas menyebabkan ianya sangat digemari oleh individu yang ingin menjalankan perniagaan.

  1. Perniagaan milikan tunggal dimiliki oleh seorang sahaja.
  2. Modal perniagaan disumbang oleh pemilik sendiri atau pinjaman dari saudara mara, rakan-rakan dan institusi kewangan.
  3. Liabiliti pemilik adalah tidak terhad iaitu jika berlaku kebankrapan, penyelesaian hutang akan melibatkan harta peribadi.
  4. Cukai yang dikenakan terhadap keuntungan perniagaan adalah berdasarkan cukai pendapatan individu.
  5. Perniagaan ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM).
  6. Perniagaan ini terikat dengan Akta Perniagaan 1956
  7. Penubuhan perniagaan ini adalah mudah iaitu tidak melibatkan prosedur yang rumit.
  8. Pengurusan ini diurus oleh pemilik sendiri dan beliau bebas membuat keputusan berkaitan perniagaannya.
  9. Jangka hayat perniagaan tidak kekal dan terbubar disebabkan kematian pemilik, kerugian dan sebagainya.
  10. Laporan kewangan tidak perlu didedahkan kepada sesiapa dan hanya untuk kegunaan pemilik sendiri

PERKONGSIAN
Perkongsian merupakan perniagaan yang dibentuk secara gabungan dan persetujuan antara dua atau lebih individu dengan tujuan mendapat keuntungan.
Perniagaan ini sukar dikenalpasti, melainkan dengan merujuk kepada daftar perniagaan.

CIRI-CIRI PERNIAGAAN PERKONGSIAN
  1. Perniagaan perkongsian dimiliki oleh 2-20 orang.
  2. Modal perniagaan disumbang oleh rakan kongsi dan pinjaman dari institusi kewangan.
  3. Liabiliti pemilik adalah tidak terhad iaitu jika berlaku kebankrapan, penyelesaian hutang akan melibatkan harta peribadi.
  4. Cukai yang dikenakan terhadap keuntungan perniagaan adalah berdasarkan cukai pendapatan individu.
  5. Perniagaan ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM).
  6. Perniagaan ini terikat dengan Akta Perniagaan 1956 dan Akta Perkongsian 1961.
  7. Penubuhan perniagaan ini adalah mudah iaitu tidak melibatkan prosedur yang rumit.
  8. Pengurusan ini diurus secara bersama oleh rakan kongsi dan keputusan perniagaan adalah keputusan bersama.
  9. Jangka hayat perniagaan tidak kekal dan mudah terbubar jika berlaku perubahan dalam daftar perniagaan.
  10. Laporan kewangan hanya perlu didedahkan kepada rakan kongsi sahaja .


SYARIKAT (SENDIRIAN BERHAD DAN BERHAD)
Perniagaan berbentuk syarikat dapat dikategorikan kepada  dua iaitu syarikat sendirian berhad dan syarikat berhad. Kedua-dua jenis entiti ini mempunyai banyak persamaan tetapi berbeza dalam beberapa aspek.

CIRI-CIRI SYARIKAT(SYARIKAT SDN BHD DAN BHD)
  1. Syarikat Sendirian Berhad dimiliki oleh 2-50 orang dan Syarikat Berhad dimiliki oleh 2 orang dan lebih bergantung kepada jumlah saham yang diterbitkan.
  2. Modal perniagaan disumbang oleh pelabur melalui terbitan saham dan liabiliti dari terbitan bon dan pinjaman dari institusi kewangan.
  3. Liabiliti pemilik adalah terhad iaitu jika berlaku kebankrapan, penyelesaian hutang tidak melibatkan harta peribadi dan terhad kepada jumlah saham yang dilaburkan sahaja.
  4. Cukai yang dikenakan terhadap keuntungan perniagaan adalah berdasarkan cukai syarikat.
  5. Perniagaan ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM).
  6. Perniagaan ini terikat dengan Akta Syarikat 1965.
  7. Penubuhan perniagaan ini adalah rumit iaitu melibatkan prosedur yang rumit.
  8. Pengurusan ini diurus pengurus yang dibayar gaji dan halatuju syarikat ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah Syarikat.
  9. Jangka hayat perniagaan lebih kekal dan sukar terbubar
  10. Laporan kewangan syarikat sendirian berhad didedahkan kepada pelabur sahaja dan untuk syarikat berhad ianya didedah kepada pelabur dan kepada umum.

KOPERASI
Koperasi ialah perniagaan yang dijalankan oleh sekumpulan individu secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

CIRI-CIRI KOPERASI
  1. Koperasi dimiliki oleh 100 orang dan lebih bergantung kepada jumlah saham yang diterbitkan.
  2. Modal perniagaan disumbang oleh yuran ahli dan pinjaman dari institusi kewangan.
  3. Liabiliti ahli koperasi adalah terhad iaitu jika berlaku kebankrapan, penyelesaian hutang tidak melibatkan harta peribadi dan terhad kepada jumlah yuran ahli yang dilaburkan sahaja.
  4. Cukai yang dikenakan terhadap koperasi adalah berdasarkan keuntungan koperasi.
  5. Perniagaan ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
  6. Perniagaan ini terikat dengan Akta Koperasi 1993
  7. Penubuhan perniagaan ini adalah rumit iaitu melibatkan prosedur yang rumit.
  8. Pengurusan ini diurus oleh ahli koperasi aktif dan  halatuju koperasi ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah Koperasi.
  9. Jangka hayat perniagaan lebih kekal dan sukar terbubar
  10. Laporan kewangan koperasi didedahkan kepada ahli-ahli sahaja.





  c) Perbezaan entiti    perniagaan

Perbezaan untuk kelima-lima entiti perniagaan dapat dikelaskan kepada lima ciri yang berbeza iaitu bilangan ahli, sumber modal, perundangan yang melibatkan akta, bentuk pengurusan dan pendedahan laporan kewangan.

CIRI
MILIKAN TUNGGAL
PERKONGSIAN
SYARIKAT
KOPERASI
BILANGAN  AHLI
1 Orang
2 – 20 Orang
2-50 (Sdn. Bhd.)
2- tidak terhad(Bhd.)
Minimum 100 Orang
SUMBER MODAL
Sendiri ,
Saudara –Mara, Pinjaman Bank
Rakan Kongsi,
Pinjaman Bank
Pinjaman Bank,
Terbitan Saham,
Terbitan Bon.
Yuran Ahli,
Pinjaman Bank
PERUNDANGAN
Akta Perniagaan 1956
Akta Perniagaan 1956 &
Akta Perkongsian 1961
Akta Syarikat 1965
Akta Koperasi 1993
KAEDAH PENGURUSAN
Sendiri & Keputusan Peribadi
Bersama Pekongsi & Keputusan Bersama
Pengurus  yang digaji & Keputusan Ahli Lembaga Pengarah
Lantikan Ahli & Keputusan Ahli Lembaga Pengarah
PENDEDAHAN LAPORAN KEWANGAN
Kegunaan Sendiri
Kegunaan Sendiri & Pekongsi
Didedahkan kepada pelabur (Sdn Bhd) . Didedahkan kepada pelabur  dan Kepada Umum (Bhd)
Didedahkan kepada Ahli Sahaja




2 comments:

  1. Artikel yang baik, Pernahkah anda mendengar tentang LFDS (Perkhidmatan Pembiayaan Le_Meridian, E-mel: lfdsloans@outlook.com --WhatsApp Hubungi: +1-9893943740--lfdsloans@lemeridianfds.com) adalah sebagai perkhidmatan pendanaan Amerika Syarikat / UK yang mereka memberikan saya pinjaman $ 95,000.00 untuk melancarkan perniagaan saya dan saya telah membayarnya setiap tahun selama dua tahun sekarang dan saya masih mempunyai 2 tahun lagi walaupun saya senang bekerja dengan mereka kerana mereka adalah pemberi pinjaman Pinjaman tulen yang boleh memberi pinjaman kepada anda.

    ReplyDelete
  2. Perniagaan secara Maya Dan perniagaan secara fizikal

    ReplyDelete